BLOG RASMI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN GUAR CHEMPEDAK

Thursday 19 January 2012

HAPPY CHINESE NEW YEAR 2012

Kepada semua guru dan pelajar cina SMKGC "Happy Chinese New Year"




KEM BINA INSAN PELAJAR PEREMPUAN TINGKATAN 4
SMKGC 2012
Tarikh : 19 - 20 Januari 2012
Tempat : Dewan Marwah
Remaja atau pelajar-pelajar merupakan aset negara paling berharga. Selain memberi fokus kepada kecemerlangan intelektual, pembinaan sahsiah dan ketrampilan diri juga merupakan acuan penting untuk menjana mereka ke arah  modal insan gemilang. Dalam hal ini kebolehan ialah potensi atau fitrah yang dikurniakan oleh Allah yang harus diperkembangkan secara menyeluruh, bersepadu dan berterusan seperti mana yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, untuk membawa seseorang pelajar itu ke arah kegemilangan, maka ia harus bermula lebih awal iaitu melalui proses memperkembangkan potensi individu secara berterusan. Melentur buluh biarlah dari rebung!  Program Bina Insan ini dirangka bagi memenuhi inspirasi tersebut.

RASIONAL



Program Kem Bina Insan ini diharapkan dapat melahirkan remaja yang mempunyai penghargaan kendiri yang positif, mempunyai perasaan, cita-cita, bertanggung jawab dan berinspirasi untuk membangunkan dan memajukan diri sesuai dengan kehendak diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.



MATLAMAT



Program ini bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang berketrampilan, berwawasan serta berkebolehan dalam membentuk jati sendiri dan membantu meningkatkan sahsiah yang cemerlang dalam kalangan pelajar.

  
OBJEKTIF

  • Mengenal sahsiah diri,dan membentuk disiplin.
  • Membina sikap, pemikiran serta perwatakan positif dan dinamik untuk berusaha, sanggup berdikari dan bekerjasama. 
  • Menyuburkan semangat kecintaan terhadap diri, keluarga, sekolah, masyarakat, negara dan agama.



Thursday 12 January 2012

MAJLIS PERSARAAN TUAN PENGETUA SMKGC
TUAN HAJI GHAZALI BIN SAAD

Tarikh : 12 Januari 2012 (Khamis)
Masa : 12.00 - 2.00 petang
Tempat : Dewan Marwah 
 
PERJALANAN HIDUP SEORANG GURU…..

            Tanggal 1 April 1955, tangisan seorang bayi memecah kesunyian sebuah rumah yang terletak di Kampung Permastang Bonglai, Ayer Hitam, Jitra. Tangisan bayi ini memberi seribu rahmat kepada pasangan suami isteri, Saad bin Jasin dan Che Kama binti Haji Husain. Pada hari itu, bayi sulung mereka lahir ke dunia.
            Anak sulung ini dibesarkan dengan penuh kasih saying. Walau pun hanya seorang pesawah, tanggungjawab untuk memberi pendidikan terbaik kepada si anak tidak pernah diabaikan. Lantaran itu, abang kepada tiga orang adik ini dihantar bersekolah di SK Permatang Paku, Ayer Hitam. Berjalan kaki sejauh 4 kilometer setiap pagi untuk pergi dan pulang dari sekolah tidak pernah menjadi penghalang dirinya untuk terus menuntut ilmu. Setelah bapanya membeli sebidang tanah di Kampung Fida 6, Ayer Hitam, Ghazali berpindah ke Sekolah Kebangsaan Permatang Bonglai Besar.
            Pendididkan menengah beliau bermula pada tahun 1968 apabila beliau memulakan tingkata satu di SM Ayer Hitam. Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1972, beliau meneruskan pelajarannya di tingkatan enam di Sekolah Menengah Datuk Syed Omar, Alor Setar. Jarak sekolah yang jauh dari rumah menyebabkan beliau terpaksa tinggal di asrama. Ketidaksanggupan berenggang dengan ibu dan ayah dan homesick mentebabkan beliau sanggup mengayuh basikal yan dipinjam daripada rakan untuk pulang ke kampong saban minggu yang jaraknya 27 kilometer. Bagi membolehkan beliau menjenggah ayahanda dan bonda tanpa mengira waktu, beliau membuat keputusan untuk menjadi punghuni rumah sewa.
            Keputusan STP yang diterimanya tidak melayakkan dirinya menjejakkan kaki ke menara gading. Bagaimana pun beliau tidak berputus asa. Keinginan dan keazaman untuk menjejakkan kaki ke menara gading tetap membara. Berbekalkan keazaman dan semangat kental, beliau mendaftar untuk menduduki semula peperiksaan STP buat kali kedua. Tetapi pada kali ini beliau nekad untuk mengambil mata pelajaran sejarah. Subjek yang tidak pernah dipelajarinya sejak di tingkatan empat. Tindakan mengambil mata pelajaran sejarah membuahkan hasil kerana beliau berjaya memperolehi Prinsipal A dalam mata pelajaran berkenaan dan dua principal dalam mata pelajaran yang lain.
            Dengan keputusan berkenaan pernohonannya untuk mengikuti kursus perguruan telah berjaya. Beliau menerima tawaran  mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Belum pun tamat kursus perguruan yang sedang diikuti, beliau mendapat pula tawaran untuk mengikuti pengajian dalam bidang
Sejarah dan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Tercapailah impiannya untuk menjejakkan kaki ke universiti, hieraki tertinggi dalam pengajian ilmu. Pada tahun 1979, beliau berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian.
            Profesion sebagai guru bermula pada 1 Januari 1980, sebagai tenaga pengajar di Kolej Islam Kelang. Selepas 6 bulan berkhidmat sebagai guru, beliau mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya. Rodziyah binti Abdullah gadis manis yang dikenalinya sejak di tingkatan 6 menjadi pilihan hatinya. Tarikh 6 haribulan 6 tahun 1980 kekal dalam ingatan lalu diabadikan pada plet kereta lama beliau, 6680. Hasil perkahwinan ini beliau dikurniai tiga orang putera dan dua orang puteri. Tiga orang anak beliau kini  menjawat jawatan sebagai guru, guru agama dan jurutera manakala dua orang lagi masih mneruskan pengajian. Kebahagiaan pasangan ini semakin terasa apabila dikurniakan dua orang cucu.
            Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik negeri sendiri. Setelah enam tahun menabur bakti di perantauan, beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Kedah, negeri kelahirannya. Kali ini beliau ditempatkan di SM Pokok Sena, sebuah sekolah yang tentunya ketara perbezaan sama ada dari segi pencapaian pelajar mahupun kemudahan fizikal.
            Pada tahun 1996, beliau ditukarkan ke SMK Mergong. Kali ini beliau dinaikkan pangkat sebagai Guru Kanan Bahasa. Selepasa satahun, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan HEM di SMK Dato’ Syed Omar. Selepas berkhidmat selama dua tahun setengah sebagai Penolong Kanan HEM beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, juga di SMK Dato’ Syed Omar.
            Kepimpinan dan kewibawaan yang dimiliki melayakkan beliau menjawat jawatan pengetua pada 1 Januari 2001. Tuan Haji Ghazali bin Saad memulakan tugasnya sebagai pengetua di SMK Tobiar, Pendang. Dari SMK Tobiar, Pendang beliau menjadi pengetua di SMK Tunku Temenggung, Pendang, dan kemudiannya pengetua di SMK Ayer Hitam. Pada 16 Disember 2008, khidmat baktinya sebagai pengetua diteruskan lagi di SMK Guar Chempedak. Di sinilah beliau akan menamatkan perkhidmatannya sebagai guru yang akan berakhir pada 15 Januari 2012.
            Sepanjang kariernya sebagai guru pelbagai peristiwa yang berlaku masih kekal dalam ingatan beliau hingga kini. Semasa menjadi guru di Kolej Islam Kelang, walaupun baru dua tahun berkhidmat sebagai guru, beliau telah diberi kepercayaan sebagai pengacara majlis Hari Anugerah Cemerlang yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu. Selain pengacara majlis, beliau juga turut terlibat sebagai jurulatih Pasukan Bahas Piala Perdana Menteri. Hasilnya, Kolej Islam   Kelang   berjaya   melahirkan  pendebat yang hebat dan berjaya
menjawat jawatan penting dalam negara. Antara bekas muridnya ialah Dato’ Takiyuddin bin Hassan, Exco Kerajaan Kelantan dan Dato’ Shamsuri bin Ahmad, seorang penceramah bebas.
            Ketika mengajar di tingkatan 6 di SMK Pokok Sena, pencapaian mata pelajaran Pengajian Am di sekolah berkenaan amat memberangsangkan. Hal ini tersiar dalam akhbar utusan sebagai sekolah yang mencatatkan keputusan membanggakan di negeri Kedah.           
Tuan Haji Ghazali juga berminat dalam aktiviti-aktiviti yang mencabar. Pada tahun 1988, beliau berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu bersama-sama kumpulan pendaki dari PIBG SM Dato’ Syed Omar.
Selepas 15 Januari ini, tiada lagi kelibat beliau di sekolah ini. Tiada lagi rutin harian membaca surat, menandatangai dokumen demi dokumen. Tiada lagi suara murid yang menerjah telinga. Namun panggilan keramat “cikgu” akan terus meniti di setiap ulas bibir. Dengan persaraan beliau daripada arena perguruan, masa dan focus akan dihabiskan dengan meningkatkan amal ibadat. Beliau juga berhasrat untuk melaway bumi ambia’ seperti Turki, Jordan, Syria dan Palestine. Pada 18 Januari ini beliau telah merancang untuk mrngerjakan umrah nazar bersama-sama isteri dan tiga anak beliau dan sesekali beliau akan mengisi masa lapang dengan memancing ikan.

Setia budi semarak kasih
Terjalin indah ikatan saudara
Pergimu tuan bukan tersisih
Sekadar menjengah usia bersara

Mekar wangi bunga melati
Hinggap mari si rama-rama
Besar sekali sumbangan bakti
Tetap di kenang selama-lama

Cikgu Ghazali. Selamat Bersara.





Tuesday 10 January 2012

ORIENTASI PELAJAR TINGKATAN 1 TAHUN 2012

Tarikh : 9 Januari 2012
Tempat :  Dewan Marwah
Masa : 1.15 - 6.20 petang
MAJLIS PERPISAHAN MANTAN PENOLONG KANAN PETANG ENCIK ZAKARIA BIN MAT

Tarikh : 8 Januari 2012 (Ahad)
Masa : 5.50 - 6.30 petang
Tempat : Dewan Marwah


Satu majlis perhimpunan rasmi telah di adakan di Dewan Marwah sempena pertukaran mantan Penolong Kanan Petang, Encik Zakaria bin Mat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 17. Beliau bertukar ke SMK Batu 17 kerana dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum. Seluruh warga SMKGC mengucapkan tahniah diatas kenaikan pangkat tersebut dan mengucapkan selamat jalan dan selamat maju jaya kepada Encik Zakaria semasa berada di sekolah baru nanti. Ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Encik Zakaria diatas jasa dan pengorbanan beliau sepanjang 8 tahun beliau berkhidmat dan mencurahkan bakti di sekolah ini. Semoga SMKGC akan sentiasa berada diingatan beliau.